Tuesday, November 10, 2009

'Mai mati sama-sama'

Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my


ALOR STAR: “Kalau hang tak mau hidup dengan aku, mai kita mati sama-sama.” Itulah kata-kata seorang warga emas sebelum secara tiba-tiba menikam isterinya selepas berang tindakan mangsa meminta cerai daripadanya dalam kejadian di Kampung Kuala Sungai, dekat sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari, Zabedah Ali, 73, maut akibat ditikam di sebelah kiri perut oleh suaminya yang berusia 81 tahun menggunakan sebilah pisau di depan pintu masuk rumah mereka.

Suspek yang juga suami ke-11 mangsa, hilang pertimbangan apabila usahanya memujuk wanita itu untuk meneruskan perkahwinan mereka menemui jalan buntu selepas dia tetap dengan keputusannya untuk berpisah.

Mangsa yang ditikam dengan pisau sepanjang 17.8 sentimeter (tujuh inci) cuba melarikan diri ke halaman rumahnya dalam keadaan parah sebelum rebah dan menemui ajal di situ.



 
Anak tiri mangsa, Ismail Hashim, 50-an, berkata sebelum kejadian, dia singgah di rumah ibu tirinya itu untuk menziarahinya kira-kira jam 11.50 pagi selepas pulang dari bandar ini.

“Ketika di rumah itu, saya nampak berlaku pertengkaran antara ibu tiri dengan suaminya dan dalam pertengkaran itu, lelaki terbabit mengeluarkan pisau yang diselit di pinggangnya lalu terus menikam ibu tiri saya.

“Lelaki itu cuba menikam ibu tiri saya sekali lagi, tetapi saya menghalangnya. Dia kemudian cuba lari, tapi saya dan seorang penduduk menahannya sebelum kami hubungi polis,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Mustafa Ahmad, 80, berkata Zabedah dikunjungi suaminya yang tinggal di Kuala Kedah kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, dipercayai untuk memujuknya membatalkan hasrat untuk bercerai, tetapi wanita itu enggan menerima pujukan itu.

“Ketika mangsa rebah di halaman rumah selepas ditikam, dia sempat diajar mengucap dua kalimah syahadah oleh jiran yang datang selepas menyedari kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Star, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau juga mengesahkan seorang lelaki berumur 81 tahun ditahan untuk siasatan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails