Sunday, October 25, 2009

Huraian dangkal web songsang

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Sebuah laman web songsang dikesan memuatkan tafsiran al-Quran mengelirukan, malah memperlekehkan Allah dengan huraian dangkal termasuk berunsur kelucahan melampau.

Menurut laman web terbabit, huruf alif di awal kalimah Allah bukan saja bermaksud Allah, bahkan simbol bagi lelaki iaitu merujuk kepada Adam, manakala huruf ha pula simbol bagi wanita.

Pengendali laman web itu yang dikenali sebagai LayarBahtera dipetik sebagai berkata: “Sebagaimana diketahui, kaum lelaki adalah awal bagi sesuatu zuriat (lelaki adalah pengeluar sperma). Dapat diperhatikan, bentuk huruf ‘alif’ itu sendiri sepadan atau simbolik bagi bentuk kemaluan lelaki.

“Sebagaimana diketahui, kaum wanita punca yang melahirkan zuriat. Bentuk huruf ha itu sendiri selaras dengan bentuk hajarul aswad yang menjadi simbolik bagi bentuk kemaluan wanita.”







Ia juga cuba mengelirukan pembaca apabila menyamakan Allah dengan manusia melalui huraian pada perkataan Allah yang dipecahkan kepada al-lahu iaitu al bermakna Allah manakala lahu bermaksud baginya, seterusnya bererti padanya ada (sifat) Allah iaitu kesudahannya setiap diri manusia.



Katanya, sifat Allah seperti manusia yang membenarkan rasul serta penamat kehidupan alam dunia dan kebenaran kiamat.

“Allah pula sifat manusia dan manusia pula sifat Allah. Apabila kehidupan dunia berakhir, manusia bertukar kepada sifat Allah malaikat.”

Laman berkenaan turut membezakan antara ugama dan agama dengan ugama berada di atas, menaungi agama seperti Buddha, Hindu, Kristian dan Islam yang berada pada kedudukan sama.

Menurut laman terbabit, sejak 2007 hingga Mac 2008, surat peringatan kiamat dihantar kepada kerajaan, sama ada serahan tangan atau melalui pos supaya seluruh rakyat dikhabarkan mengenainya, namun tiada tindak balas positif.

Laman terbabit mendakwa sebelum ini pihaknya ada ke Pejabat Agama Islam Johor dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), namun ditolak. Penolakan itu dikatakan membawa kepada banjir besar di Kota Tinggi pada 17 Disember 2006 dan 11 Januari 2007.

Kejadian banjir itu menurut laman terbabit, dinyatakan dalam al-Quran seperti pada ayat 40, surah al-Furqan yang diterjemahkannya: “Dan sesungguhnya mereka telah mengalami (peristiwa) Al-Qariah (Kota Tinggi) yang ditimpa dengan hujan yang selebat-lebatnya. Maka apakah mereka tidak menyaksikan peristiwa itu? Bahkan sebenarnya mereka itu tidak inginkan kebangkitan (Hari Kiamat).

Melalui ayat itu, pengendali laman terbabit menafsirkan Al bermakna Tinggi, Qariah pula ialah Kota dan Al-Qariah ialah Kota Tinggi.

Bagaimanapun, melalui tafsiran di kebanyakan kitab, tidak ditemui perkataan Kota Tinggi seperti portal tafsir dikelolakan Jakim yang dirujuk dengan kitab Pimpinan ar-Rahman, menerangkannya: “Dan demi sesungguhnya, mereka telah melalui bandar yang telah dihujani (dengan) azab yang buruk, maka tidakkah mereka selalu dapat melihatnya? Bahkan mereka adalah orang yang tidak ingatkan adanya kebangkitan hidup semula.”

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails